...::::Radio Online::::...Server Is Currently Up

Wednesday, March 11, 2009

History Of Royal Malay Regiment

History Of Royal Malay Regiment

SEJARAH
REJIMEN ASKAR MELAYU DIRAJA

Sejarah Rejimen Askar Melayu Diraja bermula dengan usaha untuk menubuhkan satu pasukan pertahanan yang dianggotai oleh anak-anak Melayu. Usaha ini bermula semenjak tahun 1902 lagi. Banyak perbincangan oleh Raja-Raja Melayu dan Penasihat-Penasihat British telah dijalankan bagi mengwujudkan pasukan ini. Dalam tahun 1913 Almarhum DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Muhamad ibni Yam Tunku Antah, Almarhum DYMM Sultan Perak, Sultan Alang Iskandar Shah, Almarhum Raja Di Hilir Perak, Raja Sir Chulan dan Allahyarham Undang Rembau, Datuk Abdullah bin Haji Damad telah menyuarakan hasrat menubuhkan pasukan Askar Melayu.

Hasrat Raja-Raja ini telah menjadi kenyataan apabila di dalam Persidangan Majlis Mesyuarat Persekutuan pada 23 Januari 1933, Rang Undang-Undang Askar Melayu telah diluluskan dan dikenali sebagai Undang-Undang No. 11. Bagi menyahut seruan untuk mempertahankan ibu pertiwi, lebih dari seribu pemuda-pemuda Melayu tampil dari pelusuk tanahair telah tampil menawarkan khidmat mereka, tetapi hanya 25 orang sahaja yang berjaya dipilih sebagai pengasas Kompeni Percubaan Pasukan Askar Melayu. Mereka telah diarahkan untuk melapor diri ke Haig Lines (sekarang IPDA), Port Dickson untuk memulakan latihan pada 1 Mac 1933. Skuad Pertama ini telah menjalankan latihan dengan gigih dan penuh tabah, dan pihak pegawai-pegawai British, selaku jurulatih sangat berpuas hati dengan kebolehan, kecekapan serta semangat keperwiraan yang ditunjukkan. Pada pertengahan tahun 1934, Kompeni Percubaan telah diistiharkan sebagai berjaya dengan cemerlangnya dan layak diperbesarkan ke satu batalion yang lengkap. Seterusnya buat julung kali, pada 4 Nov 1936, seramai empat pemuda anggota Skuad Pertama telah ditauliahkan sebagai pegawai dengan pangkat Leftenan Muda. Mereka adalah No. 8 Ariffin bin Haji Sulaiman, No. 12 Ibrahim bin Sidek, No 13 Ismail bin Tahar dan No. 25 Raja Lope Nor Rashid bin Raja Abdul Rahman. Dengan tercetusnya peperangan di Eropah pada 3 Sep 1939, latihan anggota Askar Melayu telah dipertingkatkan dan kekuatannya diperbesarkan. Pada 1 Dis 1941, Batalion Kedua Askar Melayu telah ditubuhkan bagi menghadapi serangan Tentera Jepun yang sedang mara. Kompeni A, Batalion Kedua adalah unit Askar Melayu pertama menentang Tentera Jepun yang mendarat di Pantai Cinta Berahi (sekarang Pantai Cahaya Bulan), Kelantan pada 8 Dis 1941. Kekuatan Tentera Jepun yang berlipat ganda telah memaksa Kompeni tersebut berundur ke Kuala Krai dan seterusnya Singapura. Di Singapura, Batalion Pertama dan Kedua Askar Melayu telah berjuang bersama Tentera British menentang kemaraan musuh. Askar Melayu telah berjuang dengan penuh semangat di sekitar kawasan Pasir Panjang, Buona Vista, Labrador dan Alexander.

Satu peritiwa yang sukar dilupai dalam sejarah Tentera Darat ialah peristiwa tindakan Tentera Jepun menawan Bukit Chandu yang dipertahankan oleh Platun No. 7, Kompeni C, Batalion Pertama Askar Melayu yang diketuai oleh Lt Adnan bin Saidi. Tentera musuh, setelah gagal dalam percubaan yang pertama, mengulangi serangan dengan kekuatan yang berlipat ganda. Di dalam pertempuran yang sengit ini, anggota Platun No. 7 telah berjuang dengan semangat yang gigih tanpa mengaku kalah. Lt Adnan sendiri mengandalikan senjata Lewis Machinegun dan mara untuk memberi semangat dan perangsang. Walaupun mengalami kecederaan, namun beliau telah menunjukkan semangat untuk terus berjuang hingga ke titisan darah terakhir. Akhirnya tentera musuh telah berjaya menawan Bukit Chandu dan Lt Adnan telah ditikam dengan benet dan mayat beliau digantung kepala ke bawah di sebatang pokok.

Satu lagi peristiwa yang menyayat hati berlaku pada 28 Februari 1942 apabila seramai 8 orang pegawai Askar Melayu, setelah menjadi tawanan perang dibunuh di Pasir Panjang disebabkan keengganan mereka menanggalkan pakaian seragam tentera mereka.
Selain dari anggota-anggota Askar Melayu, ramai lagi anak-anak Melayu menceburkan diri sebagai anggota dalam Federation Volunteer Forces menentang tentera musuh dan ramai yang turut terkorban. Di samping itu ramai anak-anak Melayu yang berkhidmat dengan Tentera British seperti Royal Army Service Corps (RASC), Royal Army Ordnance Corps (RACC), Royal Artillery (RA) dan lain-lain pasukan yang turut berjuang. Singapura jatuh ke tangan Jepun pada 15 Feb 1942 dan anggota Askar Melayu yang masih hidup telah menjadi tawanan perang. Apabila diperintahkan pulang ke kampung masing-masing ramai dari mereka meneruskan perjuangan menentang pemerintahan Jepun melalui pergerakan bawah tanah. Jepun telah menyerah kalah apabila bom atom digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki pada 6 Ogos 1945 dan British berkuasa semula di negara ini.

Setelah tamat Perang Dunia Kedua, keselamatan negara tergugat sekali lagi. Ancaman kali ini datangnya dari Parti Komunis Malaya yang tidak berpuas hati dengan kembalinya pemerintahan British. Sebilangan dari ahli-ahli kumpulan Malayan Peoples Anti Japanese Army (MPAJA) yang telah diarahkan oleh pihak British untuk menyerah dan meletakkan senjata setelah Jepun menyerah kalah enggan berbuat demikian. Sebaliknya mereka telah mengundurkan diri dan bersembunyi di hutan-hutan dan menghasut rakyat menentang pemerintahan British. Beberapa kejadian pembunuhan terhadap rakyat serta menyerang dan merosakkan ladang-ladang getah, membakar bas dan kenderaan yang telah dilakukan oleh kumpulan ini dengan sewenang-wenangnya. Kerajaan British terpaksa mengistiharkan keadaan Darurat di seluruh negara pada 8 Jun 1948.

Semasa Darurat diistiharkan Askar Melayu hanya berkekuatan 3 batalion. Mereka telah berjuang menentang pengganas komunis bersama Tentera British, Komanwel dan pasukan Polis. Askar Melayu telah diperbesarkan meningkat kepada 7 batalion sehingga tahun 1956. Dengan bertambahnya anggota Tentera Darat, kejayaan demi kejayaan dalam menghapuskan pengganas komunis telah tercapai. Akhirnya dalam tahun 1960 Darurat diistiharkan tamat.

Ketenangan di Tanah Melayu selepas Peperangan Dunia Kedua rupanya tidak berpanjangan apabila Parti Komunis Malaya (PKM) melakukan pemberontakan yang bertujuan untuk mengambil alih kuasa dari pihak British. Rejimen Askar Melayu yang baru sahaja dibentuk semula telah dikerah untuk menjaga keamanan negara daripada anasir subversive ini. Persengketaan ini telah yang berlarutan selama lebih sedekad dan telah banyak mengorbankan banyak nyawa dan kemusnahan harta benda yang tidak ternilai harganya. Peristiwa atau Darurat Pertama yang bermula 1948 hingga 1960 ini telah melakarkan suatu lagi lembaran sejarah Rejimen Askar Melayu dalam perjuangan dan pengorbanan anak-anak Melayu bagi mempertahankan tanahair tercinta. Perjuangan komunis ini rupanya tidak terhenti disini tetapi bangkit semula mulai tahun 1968 hingga 1989, setelah lama memencilkan diri. Sekali lagi RAMD telah menabur bakti bagi mematahkan cita-cita pengganas untuk memerintah negara. Kedua-dua peristiwa ini merupakan satu pengajaran yang penting kepada rakyat Malaysia agar lebih menghargai kedamaian serta kesejahteraan yang dikecapi dewasa ini dan menyedari kepentingan perpaduan sesama kaum yang menetap di bumi yang tercinta ini.

REJIMEN ASKAR MELAYU DIRAJA
SEMASA DARURAT PERTAMA 1948-1960

Kekacauan di Tanah Melayu bermula sebelum tahun 1948 lagi apabila beberapa peristiwa kacau-bilau telah dilancarkan oleh pengganas komunis sebagai pendekatan pengambilalih kuasa. Pihak Parti Komunis Malaya (PKM) mengsasarkan perusahaan utama iaitu dengan membakar kilang-kilang getah, membunuh pengurus estet dan kontraktor serta mengugut buruh-buruh estet dan lombong bijih timah. Tindakan ini adalah sebahagian daripada strategi PKM untuk mengalakkan ketegangan yang berpanjangan bagi melumpuhkan jentera pentadbiran Inggeris. Berikutan ketegangan yang semakin memuncak, pada 18 Jun 1948, Sir Edward Gent telah mengistiharkan darurat di seluruh Tanah Melayu. Rang Undang-Undang ini telah memberi kuasa yang meluas kepada pihak pentadbir tempatan dan pihak polis bagi membenteras keganasan yang ditimbulkan oleh PKM. Pengistiharan ini sekali gus telah mengharamkan PKM dan semua organisasi yang berkaitan dengannya. Diantara organisasi yang diharamkan pada ketika itu adalah Ikatan Pembela Tanah Air Malaya, The Malayan People’s Anti-Japanese Assosiation (MPAJA), Ex-Service Comrade Association dan New Democratic Youth League.

PENGLIBATAN TENTERA

Keadaan huru-hara ini telah memaksa Pesuruhjaya Tinggi Malaya ketika itu, mengarahkan pihak tentera membantu pihak berkuasa awam untuk mententeramkan suasana. Penglibatan pihak tentera semasa Darurat adalah amat penting dengan tujuan utama untuk mengembalikan semula kepercayaan orang awam terhadap keupayaan pihak berkuasa melindungi rakyat dan negara. Operasi pihak tentera melibatkan dua fasa iaitu memberi perlindungan statik dan operasi ofensif. Dalam fasa pertama, pihak tentera bertanggungjawab memberi perlindungan kepada penduduk di kawasan pendalaman dan sasaran-sasaran penting. Fasa kedua pula adalah memisahkan pihak pengganas dari kawasan yang mempunyai penduduk bagi memudahkan mereka dihapuskan. Operasi ini adalah dalam rangka menyokong strategi kerajaan dalam menangani pemberontakan PKM. Diantara strategi kerajaan ialah dengan memperkenalkan kad pengenalan pada tahun 1949. Kemudian pada 1950, rancangan Briggs pula telah dilaksanakan dengan memindahkan rakyat yang tinggal di pinggir hutan ke penempatan baru (Kampung Baru). Rancangan ini bertujuan menyekat bekalan makanan dan bantuan kepada komunis yang sering mendapatkan bekalan mereka dari kampung-kampung terpinggir. Keperluan membendung kegiatan PKM telah menyaksikan penubuhan dan pembesaran berapa pasukan keselamatan seperti polis, Rejimen Askar Melayu, pasukan Ferret Force dan pasukan Sukarela.
Perkembangan ini juga melibatkan pembesaran Rejimen Askar Melayu kepada dua briged. Selaras dengan penubuhan briged ini maka sebanyak 7 batalion telah ditubuh sepanjang Darurat. Pasukan-pasukan yang terlibat ialah Batalion Ketiga yang ditubuhkan pada 1 Jul 1948. Kemudian Batalion Ke-4 Rejimen Askar Melayu ditubuhkan pula pada 20 Nov 1949. Diikuti dengan Batalion Ke-5 Rejimen Askar Melayu ditubuhkan pada 1 Apr 1951, Batalion Ke-6 Rejimen Askar Melayu pula pada 1 Jan 1953 dan akhir sekali Batalion Ke-7 Rejimen Askar Melayu ditubuhkan pada 1 Okt 1953. Pembesaran ini telah menjadi operasi-operasi menentang PKM menjadi lebih teratur dan bersistematik. Keadaan ini telah memberi tamparan hebat kepada PKM. Selain itu juga usaha kerajaan memenagi hati rakyat dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti elektrik, paip air dan sekolah juga telah mengurangkan simpati rakyat kepada perjuangan PKM. Suasana ini telah menyebabkan ramai ahli PKM telah menyerah diri dan berundur ke Thailand. Sepanjang Darurat pasukan-pasukan Rejimen Askar Melayu telah sekali mempamerkan keberanian dan keperwiraan yang tinggi dalam menentang PKM.

KEJAYAAN REJIMEN ASKAR MELAYU
SEMASA DARURAT PERTAMA
1948-1960


KEJAYAAN BATALION PERTAMA RAMD

Ketika Darurat diisytiharkan, batalion pertama ditempatkan di Taiping, Perak. Platun dan kompeni digerakkan secara meluas bagi melaksanakan tugas membuat rondaan jauh. Rondaan ini mengambil masa antara tiga hari hingga tujuh minggu di dalam hutan belantara. Selain itu, kompeni juga turut ditempatkan di Kelantan dan Selangor. Pada tahun 1950, batalion telah ditugaskan ke Mentakab, Pahang. Operasi tersebut berjaya membunuh 25 pengganas dan menawan 13 yang lain. Pada 1951, batalion mengambil alih operasi di Negeri Sembilan dan Melaka dan berpengkalan di Kuala Pilah. Pada pertengahan tahun yang sama, batalion digerakkan pula Johor dan ditempatkan di Kluang, Johor. Buat kali kedua batalion ditugaskan ke Mentakab, Pahang. Ketika berpengkalan di Triang, Pahang, pasukan berjaya membunuh enam orang pengganas komunis, mencederakan seorang serta memusnahkan 47 perkhemahan dan tempat simpanan makanan mereka. Dalam operasi ini, pasukan tidak mengalami sebarang kehilangan anggota.

PERISTIWA KONGKOI

Kejadian serang hendap di Kongkoi ke atas Platun No.7, Kompeni C Batalion Pertama berlaku pada Apr 1951 telah mengorbankan 6 anggota platun ini. Platun yang diketuai oleh Lt Muda P.L. Philcox dan dibantu oleh 1100 Sarjan Mohd Yasin Tamin dengan kekuatan anggota seramai 23 orang telah menuju ke Kongkoi untuk mengambil alih kawasan tanggungjawab anggota Gurkha. Mereka bertolak dengan dua buah land rover dan sebuah trak konvoi pada jam 0930 pagi 8 Apr 1951. Dalam perjalanan dari Titi, Kuala Kelawang menuju ke Kongkai, Kenaboi, konvoi telah diserang hendap oleh pasukan pengganas di satu kawasan berbukit. Anggota platun telah berjuang berhabis-habisan untuk mempertahankan diri sebelum mendapat bantuan daripada satu kumpulan Jungle Squad yang datang dari arah Kenaboi. Di dalam pertempuran tersebut, seramai 6 anggota telah terkorban manakala 7 lagi anggota tercedera. Hanya satu mayat pengganas sahaja yang ditemui di tempat kejadian. Manakala yang lain dipercayai telah dibawa keluar oleh rakan mereka.

KEJAYAAN BATALION KE 2 RAMD

Sepanjang batalion bertugas di bawah pimpinan Leftenan Kolonel Blair Oliphant di Pahang mulai 1948 hingga 1950, seramai 110 pengganas komunis berjaya dibunuh dan 39 berjaya dicederakan. Manakala sepanjang darurat pula, batalion ini telah berjaya menghapuskan 305 pengganas. Daripada jumlah tersebut seramai 162 dibunuh, 44 ditawan dan 99 pengganas komunis menyerah diri di Pahang dan Perak. Disamping itu, seramai 30 warga batalion terdiri daripada seorang Pegawai British, 29 anggota Lain-lain Pangkat terkorban dalam 18 kejadian pertempuran dengan pengganas komunis, manakala 21 warga batalion kesemuanya anggota LLP tercedera dalam 14 peristiwa semasa darurat. Sementara itu di atas keberanian yang ditunjukan oleh Sarjan Usman semasa pertempuran tersebut beliau telah dianugerahkan Military Medal oleh pihak British.



PERISTIWA SUNGAI YU

Sebagaimana Batalion Pertama, Batalion kedua juga bergiat aktif dalam operasi menentang kumpulan pengganas bersenjata di kawasan sekitar semenanjung. Ketika berpengkalan di Kuala Lipis, Pahang, Kompeni C, di serang hendap di Sungai Yu oleh segerombolan penganas komunis. Platun Nombor. 8, Kompeni C, ini yang diketuai oleh Mejar R.Henderson telah ditugaskan mengadakan operasi di Gua Musang. Konvoi yang terdiri daripada sebuah jip dan tiga buah trak tentera telah bergerak dari Kuala Lipis ke Gua Musang dengan menggunakan jalan keretapi yang tidak berlandasan pada jam 0900 19 Jul 1948. Disamping itu, konvoi ini juga turut diekori oleh sebuah trak yang dinaiki oleh anggota polis. Semasa dalam perjalanan konvoi telah diserang hendap di kawasan celah bukit di Sungai Yu. Konvoi tersebut telah dihujani dengan peluru dan bom tangan pengganas. Jip yang dinaiki oleh Mejar R.Henderson dan trak kedua telah terkena bom pengganas dan tidak boleh bergerak lagi.

Keadaan ini menyebabkan Ketua Kompeni dan beberapa anggota yang menaiki kenderaan bersamanya terkorban dan ada yang tercedera. Pertempuran berpanjangan sehingga ke jam 2300, kerana tentangan hebat yang diberikan oleh platun tersebut kepada pengganas komunis. Kemudian atas daya usaha Kompeni D yang diketuai oleh Mejar Hall yang digerakkan dari Jerantut ke Kuala Lipis telah berjaya mengeluarkan mayat Ketua Kompeni C dan anggotanya yang terkorban di Sungai Yu. Operasi tersebut juga turut dibantu oleh Kompeni Gurkha dan sebuah kapal terbang yang ditugaskan membedil sekitar kawasan tersebut.

Pertempuran Hulu Slim

Pada 13 Nov 1957, Satu Platun Kompeni A yang diketuai oleh Leftenan Muda Mohd Ghazali bin Hj Che Mat telah bertempur dengan sekumpulan PGK dari Kumpulan 37/39 Platun Pembebasan Rejimen ke 5 di kawasan hulu Slim Perak. Platun Lt M Ghazali telah membut serbuan nekad ke atas kedudukan PGK dan berjaya membunuh ketua kumpulan tersebut dan menawan 8 PGK.

KEJAYAAN BATALION KE 3 RAMD

Batalion Ke 3 pula ditubuhkan pada 1 Julai 1948, pasukan telah diarahkan melaksanakan operasi di negeri Kelantan. Pasukan telah ditempatkan di Pengkalan Chepa di bawah pemerintahan Leftenan Kolonel Walton. Semasa beroperasi di kawasan ini, pasukan telah terlibat dalam kejadian serang hendap di Sungai Sumur, Hulu Kelantan pada 25 Mac 1950.

Peristiwa Sungai Sumur

Kejadian ini berlaku apabila Kompeni D di bawah Mejar Garnett telah diarahkan menjalankan operasi di kawasan Pulai. Ketua kompeni telah menugaskan Platun 12 yang diketuai oleh Leftenan Muda Hassan bin Hj. Yasin (1134) dengan dibantu oleh 1319 Sarjan Jamaludin Mohamad sebagai platun sarjan melaksanakan rondaan di sepanjang Sungai Semur. Platun telah bergerak pada pagi 23 Mac 1950 dengan kekuatan seramai 26 anggota dan diiringi 12 anggota Polis Khas (SC) yang ditugaskan menjaga sekumpulan orang cina pengambil atap. Setelah selesai melaksanakan rondaan dan berpuashati akan keselamatan di kawasan tersebut maka pada 25 Mac 1950, platun telah bergerak balik ke Kem Pulai pada jam 1000. Setelah berjalan beberapa seketika, platun telah diserang hendap oleh sekumpulan pengganas yang dianggarkan berkekuatan 150 hingga 200 dari kedua-dua arah atas bukit di tebing sungai. Serangan mengejut ini telah sekali gus mengorbankan Leftenan Hassan. Selepas lebih kurang tiga jam berbalas tembakan, pihak komunis telah mengarahkan platun untuk menyerah kalah. Namun begitu, atas semangat keperwiraan yang sejati, Sarjan Jamaludin yang telah mengambil alih kepimpinan platun tersebut telah membalas seruan tersebut, ”Lu ingat Melayu takut mati kaa?!!”.

Keberanian Sjn Jamaludin ini telah menyebabkan bertempuran berlanjutan sehingga kehabisan peluru dan akhirnya ditawan oleh musuh. Setelah tiga jam dalam tawanan Sjn Jamaludin dan anggota-anggotanya telah dibebaskan dan balik ke Kem Pulai. Pertempuran tersebut telah mengorbankan, ketua platun dan 17 anggota platun yang lain manakala yang selebihnya telah tercedera. Sementara itu, 29 orang pengganas komunis dipercayai terbunuh semasa pertempuran.

KEJAYAAN BATALION KE 4 RAMD

Batalion Ke 4 telah beroperasi di kawasan Pahang dan Perak sepanjang darurat. Semasa di bawah pemerintahan Leftenan Kolonel Rose, batalion telah ditugaskan menjaga keamanan di kawasan Mentakab Pahang. Sepanjang tempoh hampir setahun setengah diaturgerakan disekitar negeri Pahang, pasukan telah terlibat dalam beberapa pertempuran dan berjaya membunuh 13 pengganas, memusnahkan 57 perkhemahan dan menahan 33 orang yang membantu pengganas. Sehingga akhir tahun 1951, pasukan secara keseluruhannya berjaya membunuh 50 pengganas, mencederakan sejumlah besar pengganas. Sementara itu, pasukan pula, telah kehilangan seorang anggota kerana terkorban, lima tercedera. Seorang anggota pasukan pula iaitu 3841 Koperal Daud Ninggal telah dianugerahi Military Medal kerana kecemerlangan dalam menjalankan tugas di Negeri Pahang. Sepanjang bertugas dalam jangkamasa darurat, pasukan telah berjaya membunuh 75 anggota pengganas, mencederakan 33 manakala enam pengganas komunis menyerah diri dalam operasi di Pahang dan Perak. Sementara itu, seramai empat anggota pasukan gugur sebagai bunga bangsa semasa pertempuran dengan pengganas dalam empat kejadian pertempuran manakala beberapa anggota telah tercedera semasa musuh.

Pertempuran Di Ladang Estet Suloh, Ladang Nam Faat Dan Hutan Simpan Chikus
Pada awal tahun 1954, pasukan telah berpindah ke Kem Tapah di Perak. Sejak itu, pasukan telah beroperasi di sekitar kawasan Perak, diantaranya di Slim River, Teluk Anson, dan Cameron Highland. Sepanjang bertugas di Perak, pegawai dan anggota pasukan ini telah sekali mempamerkan aksi cemerlang dalam beberapa bertempuran dengan penganas komunis di Estet Suloh, Hutan Simpan Chikus dan Estet Nam Fat Yenn. Hasil pertempuran ini, pasukan telah berjaya membunuh dan mencederakan berapapa orang musuh durjana. Sementara itu, Lt Mohamad Nordin Mohaludin dan Lt Hodges telah dianugerahi Military Medal manakala 3841 Koperal Daud Ninggal yang sekali menunjukan kecemerlangan serta keberanian luar biasa semasa pertempuraan di Hutan Simpan Chikus telah dianugerahkan dengan Bar to Military Medal. Beliau adalah satu-satunya anak Melayu yang menerima pingat yang serupanya dari pihak Inggeris.

KEJAYAAN BATALION KE 5 RAMD

Batalion kelima yang berpangkalan di Kem Hulu Pandan, Singapura telah diaturgerakan bagi melaksanakan operasi mulai 9 Dis 1951 di bawah pemerintahan Leftenan Kolonel Rose. Di sini pasukan telah beberapa kali diuji dalam pertempuran di Bukit Koman Raub dan Benta. Sepanjang beroperasi di Pahang mulai lewat tahun 1951 hingga pertengahan tahun 1952, pasukan telah berjaya membunuh 16 orang pengganas komunis. Pasukan telah kehilangan seorang anggota dan seorang pegawai British ketika membuat rondaan di Bukit Koman dan di kawasan Benta di Pahang. Pada pertengahan 1952, pasukan telah berpindah ke Kem Kepala Batas Buterworth. Semasa disini, pasukan telah terlibat beropersai disekitar kawasan utara tanah air. Sepanjang operasi yang dijalankan semasa darurat, pasukan telah berjaya membunuh 74 pengganas komunis di Pahang dan Kedah. Seramai 7 anggota terdiri dua pegawai dan lima anggota LLP terkorban dalam empat kejadian, manakala tujuh anggota pasukan pula tercedera semasa pertempuran.

KEJAYAAN BATALION KE 6 RAMD

Batalion Ke 6 telah melaksanakan Operasi Cato di bawah Briged Pertama Askar Melayu bersama 1 dan 2 Kings African Rifles. Melalui operasi ini, Kompeni A telah berjaya membunuh seorang pengganas di Kuala Lipis. Kejayaan ini diikuti dengan kejayaan pasukan membunuh tiga dan mencederakan tiga orang pengganas. Operasi Hawks 3 yang dijalankan sekitar kawasan Raub dan Kuala Lipis pada Ogos 1953 berjaya menahan seorang pengganas yang juga Ahli Jawatankuasa Daerah Chin Long. Sepanjang darurat, pasukan telah berjaya membunuh 61 pengganas dengan tiga ditawan dan 28 pengganas telah menyerah diri. Operasi di sepanjang darurat juga telah mengorbankan seorang perwira dan enam anggota pasukan.
Diantara kejayaan yang dibanggakan oleh batalion semasa beroperasi di Pahang sejak 1953 adalah menghapuskan organisasi pengganas Melayu keseluruhannya. Walaupun tiada pengganas Melayu yang terbunuh, namun terdapat 25 pengganas Melayu yang menyerahkan diri pada 2 Nov 1955 hingga 31 Jul 1956.

Kecemerlangan pasukan ini diulangi lagi pada 7 Jul 1957 apabila Platun 11 di bawah pimpinan Lt Muda Abdul Rahman Khamis telah berjaya membunuh seorang pengganas Yip Chin Hee iaitu seorang Branch Committen Secretary dan menahan seorang pengganas wanita. Operasi ini dijalankan di kawasan Tanjung Karang. Manakala di Batu Arang pula, platun ini juga telah berjaya membunuh seorang lagi pengganas.

KEJAYAAN BATALION KE 7 RAMD

Sebagaimana pasukan-pasukan lain, Batalion Ke 7 telah mempamerkan kecemerlangan dalam memelihara keamanan semasa darurat. Semasa di bawah kepimpinan Leftenan Kolonel A. Gordan, batalion telah diarahkan mengambil alih tugas di kawasan Pahang daripada Batalion Ke-6. Semasa melaksanakan tugas di di Pahang, Kompeni C, telah bertempur dengan pengganas di sekitar kawasan Kuala Lipis. Kompeni ini telah berjaya membunuh seorang pengganas. Kemudian dalam Operasi Nassau yang dilaksanakan di kawasan Sepang, pasukan telah berjaya membendung aktiviti pengganas komunis dengan penyerahan diri Ah Tee bersama teman wanita dan dua pengawal peribadinya. Seterusnya Leftenan Muda Hassan Hj. Mohd Salleh bersama lima anggota telah berjaya membunuh seorang pengganas dalam serang hendap di kawasan Sikamat, Seremban pada 6 Jul 1957.

KESIPULAN KEJAYAAN REJIMEN ASKAR MELAYU SEPANJANG OPERASI
DARURAT PERTAMA 1948-1960

Pada keseluruhannya, sepanjang batalion-batalion melaksanakan operasi menentang pengganas komunis dalam era darurat pertama, seramai 13,517 PGK telah dihapuskan di mana 6710 PGK di bunuh, 1286 ditangkap dan 2,702 menyerah diri. Manakala di pihak RAMD pula di mana 519 anggota terbunuh dan 159 mengalami kecederaan. Dalam kejayaan tersebut seramai 17 Pegawai menerima anugerah Millitary Cross, 30 menerima Millitary Medal dan 3 anggota menerima PGB.

No comments: